Saturday, September 24, 2011

[Hiburan] Jiran jadi pontianak

SEBUAH lagi filem berunsurkan pontianak dihasilkan di Hollywood. Walaupun Fright Night ialah judul kitar semula, daripada filem terbitan 1985, namun ia tidaklah dibuat 100 peratus mengikut versi filem asalnya.

Menampilkan pelakon popular semasa, dihasilkan pula dalam format 3D yang menjadi kegemaran penonton ketika ini, Fright Night versi 2011 nyata tidak melupakan cita rasa masa kini.
Meskipun wujud lambakan filem yang menjadikan pontianak sebagai subjek utama sejak beberapa tahun kebelakangan ini seperti siri The Twilight Saga, namun apa yang membezakannya ialah plot serta jalan cerita.
Jika Twilight lebih kepada elemen percintaan, Fright Night pula tegar memelihara unsur seram yang menjadi tunjangnya.

Kisah berkisar kepada seorang pelajar kolej, Charlie Brewster, yang tinggal bersama ibunya, Jane, di Las Vegas. Mereka berjiran dengan pekerja binaan, Jerry Dandrige lakonan Colin Farrell.

Ketika menyiasat kehilangan rakan sekolej, Charlie diberitahu temannya, Ed, misteri kehilangan pelajar itu ada kaitan dengan jirannya.

Biarpun pada awalnya dia tidak mempercayai kata-kata Ed, namun kehilangan temannya tidak lama selepas itu membuatkan Charlie berusaha menyiasat identiti sebenar Jerry. Alangkah terkejutnya apabila dia mendapati lelaki sebelah rumahnya itu ialah pontianak.
Untuk menyelamatkan diri, Charlie bertemu ahli silap mata, Peter Vincent, yang juga pakar dalam hal ehwal pontianak. Namun bahaya menanti keduaduanya apabila Jerry terus memburu mereka disebabkan rahsia yang sudah terbongkar, serta dendam masa silam.

Kekuatan filem ini banyak terletak pada jalan ceritanya. Penulis skripnya, Marti Noxon, bijak bermain dengan emosi penonton dengan menyelitkan pelbagai rasa seperti komedi, seram dan kejutan menerusi babak yang tidak disangka-sangka. Setiap babak bergerak dengan begitu pantas membuatkan kita sering tertanyatanya apakah yang akan berlaku selepas itu.

Walaupun sebuah persembahan kitar semula, namun Noxon membuat sedikit perubahan supaya penonton yang belum pernah menyaksikan filem ini tidak terpengaruh dengan filem asal.

Pelakonnya yang mampu mempamerkan aksi memberangsangkan turut menghidupkan lagi cerita. Pemilihan Farrell sebagai pontianak juga dilihat cukup tepat.

Bukan saja berwajah tampan, bahkan dia mempunyai karisma tersendiri dalam membawakan watak pontianak penggoda.

Kumpulan tenaga kreatif yang terbabit dalam filem ini juga wajar diberi pujian terutama dari segi solekan, kesan khas serta teknik imej janaan komputer (CGI) yang berjaya menjadikan garapan Craig Gillespie ini lebih seronok disaksikan.

Timbul takut apabila melihat wajah Jerry yang kacak itu bertukar menjadi hodoh. Begitu juga ketika babak sekumpulan pontianak menyerang Charlie dan Peter, dengan makhluk penghisap darah terbabit dipaparkan dengan rupa cukup menggerunkan. Teknik CGI untuk filem ini dibuat dengan cukup teliti sehingga sukar untuk mencari cacat celanya.

Bagaimanapun, nasihat penulis, bagi mereka yang pernah menyaksikan filem asal, sila jangan bandingkan dua filem berkenaan kerana masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangannya.

Mungkin ada yang masih menyintai nilai sentimental filem asal, tidak kurang yang menggemari gaya olahan terbaru daripada Gillespie.

No comments:

ENTRI TERKINI

Grab the widget  IWeb Gator
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KONGSI BLOG ANDA

IKLAN