Kisah Seram Di Bilik Mayat | Kisah ini diceritakan oleh seorang ustaz yang bertugas memandikan mayat orang Islam di sebuah hospital kerajaan di Selangor. Semoga dapat kita ambil iktibar dan tauladan.
Lebih kurang jam 3.30 pagi, saya menerima panggilan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor untuk menguruskan jenazah lelaki yang sudah seminggu tidak dituntut. Di luar bilik mayat itu cukup dingin dan gelap serta sunyi dan hening.
Hanya saya dan seorang penjaga bilik
tersebut yang berada dalam bilik berkenaan. Saya membuka dengan
hati-hati penutup muka jenazah. Kulitnya putih, badannya kecil dan
berusia awal 20-an. Allah Maha Berkuasa.
Tiba-tiba saya lihat muka jenazah itu sedikit demi sedikit bertukar menjadi hitam.
Mulanya saya tidak menganggap ia sebagai aneh, namun apabila semakin
lama semakin hitam, hati saya mula bertanya-tanya. Saya terus menatap
perubahan itu dengan teliti, sambil di hati tidak berhenti-henti membaca
ayat-ayat suci Al-Quran. Detik demi detik berlalu, wajah jenazah semakin hitam.
Selepas lima minit berlalu, barulah ia berhenti bertukar warna. Ketika itu wajah mayat berkenaan tidak lagi putih seperti warna asalnya, tetapi hitam seperti terbakar. Saya keluar dari bilik mayat
berkenaan dan duduk termenung memikirkan kejadian aneh yang berlaku
itu. Pelbagai pertanyaan timbul di kepala saya; apakah yang sebenarnya
telah terjadi? Siapakah pemuda itu? Mengapa wajahnya bertukar hitam? Persoalan demi persoalan muncul di fikiran saya.
Sedang saya termenung tiba-tiba saya dapati ada seorang wanita berjalan menuju ke arah saya. Satu lagi pertanyaan timbul, siapa pula wanita ini yang berjalan seorang diri di bilik mayat pada pukul 4.00 pagi.
Semakin lama dia semakin hampir, dan tidak lama kemudian berdiri di
hadapan saya. Dia berusia 60-an dan memakai baju kurung.” Ustaz,” kata
wanita itu. “Saya dengar anak saya meninggal dunia dan sudah seminggu
mayatnya tidak dituntut. Jadi saya nak tengok jenazahnya.” kata wanita
berkenaan dengan lembut.
Walaupun hati saya ada sedikit tanda tanya, namun saya membawa juga wanita itu ke tempat jenazah tersebut. Saya tarik laci 313 dan buka kain penutup wajahnya.
“Betulkah ini mayat anak mak cik?”tanya saya. “Mak cik rasa betul… tapi
kulitnya putih.” “Makcik lihatlah betul-betul.” kata saya. Selepas
ditelitinya jenazah berkenaan, wanita itu begitu yakin yang mayat itu
adalah anaknya. Saya tutup kembali kain penutup mayat dan menolak
kembali lacinya ke dalam dan membawa wanita itu keluar dari bilik mayat.
Tiba di luar saya bertanya kepadanya.
“Mak cik, ceritakanlah kepada saya apa sebenarnya yang berlaku sampai
wajah anak mak cik bertukar jadi hitam?” tanya saya. Wanita itu tidak
mahu menjawab sebaliknya menangis teresak-esak. Saya ulangi pertanyaan
tetapi ia masih enggan menjawab. Dia seperti menyembunyikan
sesuatu.”Baiklah, kalau mak cik tidak mahu beritahu, saya tak mahu
uruskan jenazah anak mak cik ini. ” kata saya untuk menggertaknya. Bila
saya berkata demikian, barulah wanita itu membuka mulutnya. Sambil
mengesat airmata, dia berkata, “Ustaz, anak saya ni memang baik,
patuh dan taat kepada saya. Jika dikejutkan di waktu malam atau pagi
supaya buat sesuatu kerja, dia akan bangun dan buat kerja itu tanpa
membantah sepatahpun. Dia memang anak yang baik. Tapi…” tambah wanita itu lagi “apabila
makcik kejutkan dia untuk bangun sembahyang, Subuh misalnya, dia
mengamuk marahkan mak cik. Kejutlah dia, suruhlah dia pergi ke kedai,
dalam hujan lebat pun dia akan pergi, tapi kalau dikejutkan supaya
bangun sembahyang, anak makcik ini akan terus naik angin. Itulah yang mak cik kesalkan.” kata wanita tersebut. Jawapannya itu memeranjatkan saya.
Teringat saya kepada hadis nabi bahawa barang siapa yang tidak sembahyang, maka akan ditarik cahaya iman dari wajahnya.
Mungkin itulah yang berlaku. Wajah pemuda itu bukan sahaja ditarik
cahaya keimanannya, malah diaibkan dengan warna yang hitam. Selepas
menceritakan perangai anaknya, wanita tersebut meminta diri untuk
pulang. Dia berjalan dengan pantas dan hilang dalam persekitaran yang
gelap. Kemudian saya pun memandikan, mengapankan dan
menyembahyangkannya.
Selesai urusan itu, saya kembali ke
rumah semula. Saya perlu balik secepat mungkin kerana perlu bertugas
keesokan harinya sebagai imam di Masjid Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Selang dua tiga hari kemudian, entah kenapa hati saya begitu tergerak
untuk menghubungi waris mayat pemuda tersebut. Melalui nombor telefon
yang diberikan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah, saya hubungi saudara
Allahyarham yang agak jauh pertalian persaudaraannya. Selepas
memperkenalkan diri, saya berkata, “Encik, kenapa encik biarkan orang
tua itu datang ke hospital seorang diri di pagi-pagi hari. Rasanya lebih
elok kalau encik dan keluarga encik yang datang sebab encik tinggal di
Kuala Lumpur lebih dekat dengan Klang.”
Pertanyaan saya itu menyebabkan dia
terkejut, “Orang tua mana pula?” katanya. Saya ceritakan tentang wanita
berkenaan, tentang bentuk badannya, wajahnya, tuturannya serta
pakaiannya. “Kalau wanita itu yang ustaz katakan, perempuan itu adalah emaknya, tapi…. emaknya dah meninggal lima tahun lalu!”
Saya terpaku, tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi. Jadi ‘apakah’
yang datang menemui saya pagi itu? Walau siapa pun wanita itu dalam erti
kata sebenarnya, saya yakin ia adalah ‘sesuatu’ yang Allah turunkan
untuk memberitahu kita apa yang sebenarnya telah berlaku hingga
menyebabkan wajah pemuda berkenaan bertukar hitam. Peristiwa tersebut
telah terjadi lebih setahun lalu, tapi masih segar dalam ingatan saya.
Ia mengingatkan saya kepada sebuah hadis nabi, yang bermaksud bahawa
jika seseorang itu meninggalkan sembahyang satu waktu dengan sengaja,
dia akan ditempatkan di neraka selama 80,000 tahun. Bayangkanlah seksaan
yang akan dilalui kerana satu hari di akhirat bersamaan dengan seribu
tahun di dunia. Kalau 80,000 tahun?
Wallahu’alam….
No comments:
Post a Comment