Friday, September 23, 2011

PASIR SALAK: Rumah pejuang tersohor, Datuk Maharaja Lela Pandak Lam, di sini, bukan saja dijadikan sarang maksiat, malah menjadi ‘port’ penagih dadah di kawasan ini.

Kediaman warisan yang terletak bertentangan dengan Kompleks Sejarah Pasir Salak itu berada dalam keadaan terbiar dan menunggu masa roboh.


Penduduk, Ramli Abas, 43, berkata, dia sedih apabila menyaksikan rumah peninggalan pahlawan negeri itu terbiar begitu saja tanpa sebarang tindakan membaikinya diambil kerajaan negeri. “Saya kecewa kerana perjuangan Datuk Maharaja Lela dipandang sebelah mata sesetengah pihak apabila kediamannya dibiarkan tanpa mendapat pembelaan sewajarnya.

“Jasa dan pengorbanannya diiktiraf dengan beberapa jalan, sekolah serta kawasan dinamakan bersempena namanya tetapi menyedihkan apabila keadaan kediaman dan kawasan sekitar yang pernah menjadi kubu pertahanan masyarakat daerah ini satu ketika dulu, menunggu masa untuk menyembah bumi,” katanya.


Tinjauan wartawan Harian Metro mendapati, rumah Maharaja Lela yang pernah dibaik pulih, kini dipenuhi belukar serta sukar dimasuki.


Tambah mengejutkan, selain barangan hiasan di dalam rumah berkenaan hilang dan rosak, ia dijadikan lokasi ‘selamat’ oleh penagih dadah dan remaja melakukan maksiat.

Ia berdasarkan penemuan beberapa barangan untuk menghisap dadah dan tilam buruk di bahagian dapur kediaman berkenaan yang didakwa Ramli angkara golongan muda tempatan.


Mengikut sejarah, selepas mendapat persetujuan dan sokongan penduduk sekitar Pasir Salak, Kampung Gajah dan pemimpin tempatan, Datuk Maharaja Lela mengepalai perjuangan menentang penjajahan British di Perak yang membawa kepada pembunuhan James Wheller Woodfird Birch (JWW Birch) iaitu Residen British pertama Perak.

Malangnya, daripada sanjungan sebagai pejuang, beberapa individu kalangan bangsa sendiri yang dipercayai sebelum itu, berpaling tadah dengan menuduh beliau serta beberapa lagi rakan seperjuangannya, selaku pemberontak sebelum beliau dijatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.


Lebih tragik, difahamkan sebagai pengajaran kepada 'pemberontak-pemberontak' lain supaya tidak mengikut jejak Maharaja Lela dan teman seperjuangannya, pihak penjajah British difahamkan mengarahkan supaya mayat Maharaja Lela dikerat tiga dan ditanam secara berasingan di tepi tebing Sungai Perak. Biarpun tiada fakta sahih mengenainya, perkara ini masih menjadi persoalan sehingga kini kerana bukti juga tiada untuk mengatakan 'Makam Maharaja Lela' yang terletak di Taiping, benar-benar milik perwira sejati ini.


“Saya meminta pihak bertanggungjawab memandang serius perkara ini kerana selain kediaman Maharaja Lela, keadaan Kompleks Sejarah Pasir Salak juga dalam keadaan menyedihkan.


Keadaan sekarang cukup menyedihkan berbanding beberapa tahun lalu kerana ini adalah kawasan bersejarah yang mempunyai nilai begitu penting dalam sejarah Malaysia," katanya.

No comments:

ENTRI TERKINI

Grab the widget  IWeb Gator
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KONGSI BLOG ANDA

IKLAN