Tuesday, September 6, 2011

[Info Agama] PUASA ENAM IBARAT PUASA SETAHUN

PUASA ENAM IBARAT PUASA SETAHUN

Alhamdulillah kita tamat menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadhan ini. Sama-samalah kita mengharapkan mudah-mudahan Allah menerima amalan puasa kita. Di samping itu juga diharapkan agar latihan ibadat yang kita lakukan sepanjang Ramadhan seperti puasa, solat sunat, sedekah, bacaan Quran dapat diteruskan dalam bulan-bulan lain sehinggalah kita bertemu Ramadhan 1433H akan datang.

Setiap amalan ada kesan dan hasilnya. Ibadat puasa Ramadhan ini mampu menjadikan kita orang yang bertakwa. Inilah intipati dari Ramadhan. Kelazatan puasa memuncak ketika berakhirnya Ramadhan. Kita inginkan keberkahan Ramadhan ini berpanjangan hingga setahun, tapi apakan daya ia datang hanya sebulan saja.

Sungguhpun begitu, kita masih berpeluang meneruskan puasa selepas 1 Syawal. Nabi Muhammad saw. bersabda “Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari dalam bulan Syawal, maka orang itu seolah-olah berpuasa setahun penuh.”

Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Sayugialah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa 6 di bulan Syawal. Selain mendapat pahala puasa setahun, kita juga dapat memperbaiki kekurangan dalam ibadat puasa bulan Ramadhan.


Bagi kaum perempuan yang tidak dapat berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan kerana kedatangan haid, puasa Sunat 6 hari dalam Syawal ini memberi peluang terbaik untuk mengqadha’ di samping mendapatkan pahala berpuasa sunat. Kebiasaan mentaakhirkan qadha sehingga hampir Ramadhan akan datang adalah satu amalan yang tidak sepatutnya dilakukan. Amalan wajib jika ditinggalkan mestilah disegerakan sebagai menunjukkan sikap pengabdian diri kita terhadap Allah. Apakah makna dan tujuan kita melambatkan qadha’ puasa wajib? Tidak lain menunjukkan seolah-olah kita keberatan untuk menunaikan kewajiban yang telah kita tinggalkan. Bukankah Allah tahu apa yang tersirat di hati kita?

Menurut ulama, puasa sunat enam hari pada Syawal sebaik- baiknya (lebih afdal) dilakukan berturut-turut, dimulai pada hari kedua Syawal dan diikuti lima hari lagi berturut-turut.

Tetapi jika tidak dapat, boleh dilakukan pada mana-mana hari asalkan masih di dalam bulan terbabit dan boleh juga dilakukan dengan tidak berturut-turut asalkan cukup enam hari.

Sesetengah ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal.

Ulama juga berbeza pendapat antara puasa sunat enam hari pada bulan Syawal dengan puasa ganti (qada) Ramadan.

Pendapat pertama mengatakan tidak dibolehkan niat puasa ganti bersama puasa sunat Syawal. Ini kerana berdasarkan hadis setiap amalan berdasarkan niat.

Ada juga pendapat menggariskan : `Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qada.

Imam As-Syafi’i (di dalam Kitab Al-Umm) berpendapat dalam mensyarahkan bab `setiap amalan dengan niatnya’ bahawa: Hendaklah dibezakan ibadat puasa Ramadan, puasa nazar, puasa kafarah, puasa qada dan puasa sunat.

Imam Jalaluddin As-Suyuti (di dalam Kitab Al-Isybah) juga berpendapat hendaklah diasingkan puasa Ramadan atau nazar atau puasa sunat. Namun, seseorang yang berniat puasa qada ketika Syawal boleh juga dikurniakan pahala puasa enam (tanpa menjatuhkan niat itu) mengikut pendapat sebahagian ulama.’

Pendapat kedua mengatakan dibolehkan niat bersama, malah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa sunat enam hari dengan berniat hanya puasa qada pada bulan Syawal.

Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Natijah dari amalan puasa ialah taqwa dan kasih akan Allah. Tanda kasih akan Allah ialah berkhidmat kepadaNya. Siapa mencintai Allah dia akan berbahagia di alam akhirat, sebaliknya siapa mencintai dunia dan isinya, ketahuilah dunia akan meninggalkan kita. Kelazatan dunia walaupun bagus tetapi ia tidak kekal. Ia berakhir sebaik saja kita menemui ajal. Sebaliknya kelazatan akhirat kekal abadi tanpa batasan waktu.

Di antara tanda kita mengasihi akan Allah ialah mulut sentiasa berzikir (mengingati / menyebut) Allah, hati tidak lalai mengingati sesuatu selain Allah. Setiap amalan yang dilakukan diperiksa terlebih dulu adakah untuk nafsu atau Allah. Mana yang dirasakan untuk Allah diteruskan. Apabila melihat sesuatu hati terus teringat kepada Allah yang menjadikannya. Selain itu, sentiasa mendampingi orang alim (ulama) kerana mereka ialah pewaris nabi. Kita sedar kita adalah bersama orang yang kita cintai di akhirat nanti. Jika hati menyintai nabi dan para ulama, insyallah kita bersama mereka di akhirat . Bagaimana pula agaknya kalau kecintaan beralih kepada para artis dan penyanyi? Nauzubillah…

Sebagai akhirnya, sama-samalah kita berdoa supaya kita dapat bertemu Ramadhan tahun depan dan seterusnya.
http://www.blogger.com/img/blank.gif
“Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam golongan orang yang merindui Ramadhan kerana kami sedar di syurga terdapat sebuah pintu bernama Ar-Rayyan yang tidak boleh dimasuki oleh sesiapa kecuali orang yang berpuasa saja. Kami juga sedar Ya Allah bahawa puasa merupakan benteng terkuat dari azab neraka. Oleh itu jadikanlah kami orang yang rajin mengerjakan puasa wajib dan sunatnya. Kau peliharakanlah kami dari azab api neraka yang tidak mampu bagi kami untuk menanggungnya..” Amin.

Wallahualam.
SUMBER @ www.isuhangat.net.

No comments:

ENTRI TERKINI

Grab the widget  IWeb Gator
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KONGSI BLOG ANDA

IKLAN