Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata undang-undang
berasaskan hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini kerana
realiti keseimbangan jumlah masyarakatnya tidak mengizinkan
undang-undang sebegitu dikuatkuasakan.
"Undang-Undang
hudud, tidak akan laksanakan di Malaysia ini tetapi kita terima ini
adalah undang-undang Tuhan dan sebagai sebuah parti yang terdiri
daripada orang Islam, kita terima hakikat ini tetapi jika ia hendak
dilaksanakan ia mesti berpaksikan kepada realiti.
"Jika
ditanya para ulama sekalipun, undang-undang Islam itu tidak boleh
dilaksanakan melainkan kita sudah mengambil kira persekitaran dan
realiti sebenar masyarakat ketika itu," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Karnival 1Malaysia di Tanjung Tualang dekat Batu Gajah.
Najib
berkata kerajaan kini telah pun mengambil kira prinsip "Maqasid
Syariah" iaitu matlamat sebenar dalam pentadbiran untuk menyelesaikan
permasalahan rakyat.
"Lagipun, matlamat sesuatu
pentadbiran mengikut Islam ialah prinsip Maqasid Syariah yang antara
prinsipnya ialah mempertahankan agama, nyawa, akhlak dan harta benda.
Jadi dengan undang-undang yang sedia ada, prinsip maqasid syariah boleh
dan mampu kita pertahankan," kata Najib.
Beliau berkata matlamat sebenar perlu dicapai, yang antaranya memastikan rakyat dan negara ini sentiasa aman serta sejahtera.
Perdana
menteri juga menyifatkan langkah Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik
Mat memutarkan kembali cerita lama mengenai hudud sebagai taktik parti
itu bertujuan menagih perhatian rakyat.
Beliau
berkata taktik ini dilakukan selepas parti itu menerima kritikan hebat
daripada rakyat negara ini ekoran kenyataan timbalan presiden parti itu
Mohamad Sabu yang mempertikaikan peranan anggota polis dalam peristiwa
Bukit Kepong dan menyanjung pengganas komunis sebagai pejuang tanah air.
"Saya nampak ini taktikal, sebab parti PAS sudah
menerima pukulan cukup hebat ekoran daripada kenyataan Mohamad Sabu yang
menidakkan pejuang-pejuang nasionalis yang terbunuh dalam insiden Bukit
Kepong dahulu. Ia telah menimbulkan kemarahan yang begitu dahsyat dalam
kalangan orang Melayu.
"Mereka sedar bahawa sokongan
kepada mereka dah merosot dengan begitu ketara, jadi mereka cuba
timbulkan isu hudud ini dengan harapan bahawa isu Mohamad Sabu itu akan
tenggelam dan cuba muncul sebagai parti memperjuangkan Hudud dan menawan
hati orang Melayu," katanya.
Najib berkata isu
hudud ini turut memperlihatkan kemelut persefahaman antara parti dalam
pakatan pembangkang sudah tidak dapat ditutup lagi dan beliau yakin
rakyat bijak menilai kelemahan mereka.
"Dalam
soal undang-undang hudud ini, telah timbul satu keadaan di mana
perbezaan ideologi mereka sudah tidak boleh ditutup lagi, tidak boleh
diselindung di hadapan mata rakyat.
"Saya
berharap ini dapat disedari oleh rakyat, kita tidak boleh meletakkan
harapan kepada satu gabungan yang tidak sehaluan daripada segi prinsip
dan ideologi.
"Walaupun mereka cuba mengaburi
mata rakyat, tetapi lambat laun ia akan timbul bukan sahaja daripada
segi hudud tetapi juga pembahagian jawatan dalam "Kabinet Bayangan"
mereka. Mereka belum berani merangka Kabinet mereka," katanya.
Di
majlis itu, Najib yang ditemani isterinya Datin Seri Rosmah Mansor
sempat meluangkan masa memancing udang galah di sebuah kolam
bersama-sama masyarakat sekitar Tanjung Tualang yang terkenal sebagai
Pekan Udang Galah.
- Bernama
========================================================================
Apa pendapat anda?
No comments:
Post a Comment