Friday, September 23, 2011

[Berita] Ghaib lepas dapat RM1



KUALA KANGSAR: Kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun diselubungi tanda tanya apabila mangsa dilaporkan ‘ghaib’sejurus meminta wang RM1 dari ibunya.
Mangsa, Nur Shafiqa Ismail, yang juga murid tahun lima, Sekolah Kebangsaan (SK) Talang, dilaporkan gagal dikesan keluarganya sejak hilang lebih 10 hari lalu.

Dalam kejadian awal pagi 12 September lalu, mangsa yang tinggal bersama ibu saudaranya di Kampung Talang Masjid, di sini, dikatakan keluar dari rumah sehelai sepinggang.
Ibu saudara mangsa, Zalina Shak, 43, berkata, dia menyangka Nur Shafiqa ke sekolah seperti biasa pada hari kehilangannya berikutan dia sibuk di dapur.

Zalina berkata, dia mula tidak sedap hati apabila anak saudaranya tidak pulang hingga lewat petang.

"Saya segera ke sekolah dan bertanya kepada guru bertugas. Namun, saya terkejut apabila diberitahu bahawa Nur Shafiqa tidak hadir ke sekolah pada hari berkenaan.

“Saya kemudian menghubungi ibu kandung Nur Shafiqa yang tinggal di Kampung Chuar Kati, dekat sini, dan ibunya memaklumkan anaknya itu ada datang ke rumah meminta sedikit wang sebelum keluar dari rumahnya," katanya.

Dia diberitahu bahawa ibu mangsa sempat menyuruh anaknya pulang semula ke rumahnya, namun mangsa hilang entah ke mana sehingga kini.
Zalina berkata, kebiasaannya Nur Shafiqa akan menaiki basikal ke sekolah tetapi basikal itu ditemui ditinggalkan berhampiran Masjid Kampung Talang, di sini.

"Ketika hilang, Nur Shafiqa hanya memakai pakaian biasa berikutan baju sekolah serta peralatan lain masih berada di rumah," jelasnya bimbang.

Katanya, Nur Shafiqa tinggal bersamanya sejak Januari tahun ini apabila bapa pelajar itu meminta dia menjaga anaknya itu selepas berpisah dengan isterinya.

Katanya, tiada perselisihan faham antaranya dengan Nur Shafiqa, malah dia sentiasa menjaga kanak-kanak malang itu dengan baik termasuk memujuknya jika dia merajuk selain menunaikan permintaannya.

“Saya juga menegurnya seperti anak saya yang lain apabila dia melakukan kesalahan kecil termasuk menasihatinya supaya rajin belajar dan membaca buku.

“Perwatakannya agak matang berbanding usianya yang masih di sekolah rendah dan badannya agak besar berbanding rakannya yang lain,” katanya.

Berikutan itu, Zalina membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar pada 16 September lalu dan turut mendapat khidmat bantuan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) kawasan itu untuk membantu menjejaki Nur Shafiqa.

“Kami berharap orang ramai yang mempunyai maklumat hubungi saya di talian 012-4651869,” katanya.

No comments:

ENTRI TERKINI

Grab the widget  IWeb Gator
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KONGSI BLOG ANDA

IKLAN