Suatu
hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata,
"Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku
nasihat." Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika
kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh
kamu melakukan maksiat." Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya.
"Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"
Ibrahim
bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah,
jangan memakan rezekinya." Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya
berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini
rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah
memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu
berkeinginan melanggar larangan-Nya?"
"Yang
kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di
bumi-Nya! Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim
kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu
layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu
melanggar segala larangan-Nya?"
"Ya!
Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang
ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah
tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!" Lelaki itu
kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana?
Mana mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya, kalau memang yakin
demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata
Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.
Ibrahim
melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu,
katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu
bertaubat dan melakukan amal soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan
kepala dan segera tersedar, "Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut
akan memenuhi permintaanku?"
"Wahai
Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan
mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari
dari kemurkaan Allah?"
"Baiklah,
apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau
malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari
kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."
Perkataan
tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah
pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak
tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai
saat ini aku bertaubat kepada Allah." katanya sambil terisak-isak.
Sumber
No comments:
Post a Comment