Saturday, September 24, 2011

[Sukan] Gementar undang padah



HEMPAS PULAS...Muslim mengawal pergerakan penyerang Jepun, Yuya Osako (kanan) pada perlawanan Rabu lalu. 


SIKAP terlalu menghormati kehebatan Jepun mencetuskan rasa gementar skuad Olimpik negara hingga mereka gagal mempamerkan aksi sebenar ketika tumpas 0-2 pada perlawanan pertama Kumpulan C kelayakan Sukan Olimpik London di Stadium Tosu, Rabu lalu.
Menurut tonggak pertahanan tengah negara, Mohd Muslim Ahmad, permainan mereka terjejas khususnya pada babak pertama permainan sehinggakan mereka tertekan dengan asakan bertali arus pasukan tuan rumah.

“Jepun pasukan yang hebat tapi kita tak boleh terlampau menghormati mereka, sebab itu pemain-pemain agak takut-takut pada separuh masa pertama. Tapi kami bermain lebih baik pada babak kedua selepas mendapat teguran daripada jurulatih (Ong Kim Swee).
“Kami sudah mencuba yang terbaik untuk memberi tentangan kepada Jepun tapi memang tak ada rezeki apabila kalah 2-0. Tapi masih ada perlawanan timbal balik dengan Jepun selepas ini jadi kami masih ada peluang untuk menebus kesilapan,” katanya yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik tiba dari Fukuoka kelmarin.

Pada perlawanan itu, skuad bawah 22 tahun negara yang dibimbing Kim Swee tumpas menerusi jaringan setiap babak Keigo Higashi dan Ryohei Yamazaki biarpun berhempas pulas bertahan sejak wisel permulaan dibunyikan.

Muslim, pemain Harimau Muda A yang kini berusia 22 tahun bagaimanapun berpuas hati dengan prestasinya selepas dikritik hebat ketika skuad kebangsaan tumpas 3-5 di tangan Singapura pada perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 Julai lalu.

“Saya sudah dapat rentak semula pada perlawanan semalam (kelmarin), memang sebelum ini ramai yang meragui kemampuan saya apabila kalah teruk dengan Singapura. Tapi saya sudah berjaya mendapat motivasi diri dan yakin mampu memberikan aksi lebih baik selepas ini,” katanya yang semakin membentuk persefahaman jitu di bahagian pertahanan tengah bersama Mohamad Fadhli Shas.

Kekalahan di tangan pasukan pilihan Jepun itu meletakkan Malaysia di tangga terakhir Kumpulan C. Syria yang menewaskan Bahrain 3-1 menerajui tangga teratas kumpulan dengan tiga mata diikuti Jepun dan Bahrain.
Skuad Olimpik negara bakal berdepan Syria 23 atau 24 November ini diikuti Bahrain pada 27 November di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Malaysia beraksi buat kali pertama di Sukan Olimpik Munich 1972 dan kemudian layak beraksi sekali lagi di Moscow pada 1980 namun tidak mengambil bahagian kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

No comments:

ENTRI TERKINI

Grab the widget  IWeb Gator
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KONGSI BLOG ANDA

IKLAN